Baca Paper 13 Januari 2008

More
11 years 6 months ago #29897 by Ct Shafinah
Berita Harian 13 Jan 2008

Sepakat kecam Israel

Sidang khas Dewan Rakyat lulus 10 usul henti serangan tentera Yahudi

KUALA LUMPUR: Sidang khas Dewan Rakyat semalam sebulat suara mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan serta merta Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi mendakwa penjenayah perang Israel yang melakukan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin.

Desakan itu adalah antara 10 usul (lihat muka 2) dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang kemudian dibahas dan disokong semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang yang diketuai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seramai 201 Ahli Parlimen menghadiri sesi khas itu dengan 129 mewakili Barisan Nasional (BN), 70 dari Pakatan Rakyat dan dua ahli Bebas. Turut memerhatikan sidang khas itu ialah 32 perwakilan asing, termasuk dari Amerika Syarikat dan Britain.

Pada sidang khas bermula jam 2.30 petang dan berakhir 9.50 malam itu, semua Ahli Parlimen sama ada penyokong kerajaan mahupun pembangkang, senada mengutuk serangan ganas Israel di Gaza dan ramai turut mengecam Amerika Syarikat yang dianggap sengaja membiarkan rakyat Palestin disembelih.

Ada juga yang melabelkan Israel sebagai penjenayah perang dan pengganas bersiri serta menyifatkan serangan ganas rejim Zionis itu seperti tindakan kebinatangan.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika mengemukakan 10 usul itu mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3), menegaskan pengeboman dan pemusnahan harta benda tanpa sebarang timbang rasa yang dilakukan Israel di Gaza perlu dikecam dan dikutuk seluruh dunia.

Abdullah menegaskan Israel mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, piagam PBB serta jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Perlindungan Orang-orang Awam dalam Masa Perang.

\"Serangan ini adalah yang terburuk dilakukan rejim Zionis terhadap Palestin sejak 1967... kekejaman tentera Israel tiada tolok bandingnya,\" katanya.

Dalam ucapan lebih 20 minit itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia amat sedih dengan situasi di Gaza dan hampa kerana masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB gagal mengambil tindakan bagi menghentikan serangan itu.

, \"Sebenarnya mengenai isu Palestin, Amerika Syarikat telah menggunakan kuasa vetonya sebanyak 28 kali dalam tempoh 36 tahun sejak 1973, iaitu menyekat Majlis Keselamatan supaya tidak dapat bertindak,\" katanya.

Abdullah turut mempersoalkan tindakan Washington menolak keputusan pilihan raya umum Palestin yang memberi kemenangan kepada Hamas pada 2006, sedangkan Amerika Syarikat mengaku sebagai negara demokrasi yang terulung di dunia.

\"Amerika Syarikat juga mengaku dirinya jaguh mempertahankan hak asasi manusia.

(Tetapi) Mengapa ia membiarkan Israel membunuh kanak-kanak, orang tua dan wanita biasa serta orang awam lain, semuanya tidak berdosa,\" katanya sambil berharap bakal Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, akan melakukan sesuatu yang benar-benar dapat membawa pembaharuan.

Katanya, semua resolusi yang dicapai pada sidang khas Parlimen itu akan turut disampaikan kepada dewan perundangan dan parlimen yang berkenaan, terutama Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.

Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak ketika menyokong usul itu menyifatkan rejim Israel sebagai pengganas bersiri kerana kezaliman melampaunya terhadap penduduk Palestin tanpa mengendahkan bantahan dunia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, undang-undang rimba Israel bermaharajalela kerana rejim Yahudi itu mendapat sokongan sesetengah pihak berpengaruh dalam Majlis Keselamatan PBB.

\"Tidak ada lagi kedaulatan undang-undang kerana mereka yang mencipta slogan itu sendiri yang mencabulinya. Israel dengan bongkaknya tidak menghiraukan sebarang gesaan, usaha, mahu pun rayuan pelbagai pihak termasuk PBB, Kesatuan Eropah, Liga Arab dan OIC untuk mengadakan gencatan senjata,\" katanya.

Najib yang juga Menteri Pertahanan, berkata rejim Yahudi itu tanpa segan silu terus bertindak kejam dan sewenang-wenangnya mengguna hukum Zionis demi kepentingan sendiri sehingga sanggup mengorbankan keamanan dan kestabilan dunia.

\"Segala usaha dan misi bantuan kemanusiaan menemui jalan kesukaran dan dihalang dengan pelbagai alasan serta syarat tidak munasabah sehingga kerja menyelamat tidak lagi bermakna,\" katanya.

Beliau berkata, rejim itu akan terus dikenali dengan sikap bebal dan tidak mesra kepada kehendak masyarakat antarabangsa seperti diperlihatkan tindakannya menceroboh dan menduduki sempadan baru di tanah Palestin.

\"Sehingga kini berbanding hampir 60 tahun lalu, saiz wilayah Israel bertambah lebih 30 peratus daripada keluasan asalnya,\" katanya.


905 maut, 3,950 cedera

Serangan 17 hari askar Israel ranapkan wilayah Gaza

BANDAR RAYA GAZA: Jumlah rakyat Palestin yang terkorban dalam perang dilancar Israel ke atas Gaza sejak 17 hari lalu melepasi angka 900 semalam, ketika negara Yahudi itu mengerah askar simpanannya untuk dihantar ke wilayah Palestin berkenaan.

Ketua perkhidmatan penyelamat di Gaza, Muawiya Hassanein, berkata setakat semalam, 905 rakyat Palestin terkorban dan 3,950 cedera.

\"Sekurang-kurangnya 277 kanak-kanak adalah antara yang terkorban,\" katanya.

Sementara itu, tentera Israel yang terus membedil Gaza dari udara dan darat semalam, mengerah askar simpanan ke wilayah Palestin itu, satu petanda yang menunjukkan rejim Zionis berhasrat memperhebatkan serangan dalam Operasi Cast yang dilancar 27 Disember lalu untuk memusnahkan keupayaan Hamas melancar roket.

Tentera Israel masih berkubu di pinggir bandar utama di Gaza, berbalas tembak dari jarak jauh dengan pejuang Palestin.

Seramai 10 askar Israel dan tiga orang awam Yahudi terbunuh sama ada akibat pertempuran atau bedilan roket sejak Gaza diserang.

Di ALGIERS: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyeru negara Islam bersatu menghentikan \'pemusnahan beramai-ramai\' rakyat Gaza, lapor agensi berita Algeria, APS.

\"Jika langkah segera pada peringkat global tidak diambil oleh negara bebas dan merdeka bagi menghentikan pengeboman maut Israel ke atas Gaza, rantau ini, dunia Islam dan manusia secara keseluruhannya akan menghadapi bencana secara besar-besaran,\" kata Ahmadinejad selepas mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Algeria, Abdelaziz Bouteflika.

Sambil menggesa agar semua pihak mengadakan sekatan ekonomi dan politik yang terancang terhadap Israel, Ahmadinejad berkata, Iran akan menawarkan bantuan bagi menentang serangan Israel dan mengelakkan \'satu tahap pemusnahan beramai-beramai\' dalam kempen negara Yahudi itu terhadap rakyat Palestin.

Presiden Iran berkata, dunia Islam mempunyai tanggungjawab untuk bertindak, dan menyalurkan semangat dinamik kepada intifada Palestin. AFP

Chavez dianggap wira di Palestin

Berani usir keluar duta Israel dari Caracas

BAITULAHAM: Presiden Venezuela, Hugo Chavez kini dianggap wira oleh rakyat Palestin dan penyokong mereka kerana keberaniannya mengusir keluar duta Israel dari Caracas pada 6 Januari lalu.

Hanya Venezuela saja negara yang melakukannya selain Mauritania yang mengambil tindakan berkenaan. Hamas, pergerakan Islam yang menguasai Gaza, mengalu-alukan \'keputusan berani Chavez\', sementara Hassan Nasrallah, ketua Hizbullah di Lubnan, menggesa negara Arab supaya mencontohi tindakan Presiden Venezuela itu.

Bendera Venezuela dan potret Presiden Hugo Chavez kini kelihatan berkibaran dalam bantahan terhadap Israel di Tebing Barat berikutan serangan negara Yahudi itu ke atas Semenanjung Gaza.

Sabtu lalu, Chavez menuduh Israel sebagai \'tangan pembunuh\' Amerika Syarikat dan berkata, penyelesaian kepada krisis di Gaza itu terletak pada tangan Barack Obama apabila beliau mengambil alih sebagai Presiden AS minggu ketiga bulan ini.

Mohammed al-Lahham, ahli Parlimen daripada parti Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas, berkata Chavez adalah \'simbol perjuangan kebebasan dan ini membezakannya daripada presiden lain di dunia\'.

Penentangannya terhadap Washington, sekutu setia Israel, berhubung serangan ke atas Iraq dan Lubnan pada 2006 menjadikan Chavez simbol bagi rakyat \'yang berjuang menentang pendudukan\'.

Selain Tebing Barat, bendera Venezuela dan potret Chavez juga dikibarkan oleh penunjuk perasaan di Ramallah dan Hebron dalam perhimpunan yang diadakan minggu lalu.

Stesen televisyen Al-Jazeera menemu ramah Menteri Luar Venezuela, Nicolas Maduro yang membidas \'penjenayah yang mentadbir Israel\' dan mereka yang \'melakukan pemusnahan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin selama 60 tahun\'.

\"Saya ingin memberi Chavez pasport Palestin agar beliau boleh menjadi warga Palestin. Kemudian kami akan memilihnya untuk menjadi presiden kami,\" kata Datuk Bandar Al-Masar, Mahmud Zwahreh.

Mohammed Brijeh, yang mengetuai kumpulan bertindak di Baitulaham terhadap tembok keselamatan di antara Israel dan Tebing Barat berkata: \"Respons Chavez bernilai lebih besar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).\" \"PBB hanya melakukan apa yang Israel mahu\", dakwanya.

\"Alangkah baiknya jika kami mempunyai pemimpin sekuat Hugo Chavez,\" kata Brijeh. Kata Zwahreh: \"Kami tidak mempunyai pemimpin yang ada strategi dan misi jelas\".

Abbas dan pergerakan Fatahnya yang sederhana menjadi lemah berikutan pergeseran dengan Hamas dan sifat terlalu mengagungkan bekas pemimpinnya, Yasser Arafat, yang potretnya masih menghiasi kebanyakan bangunan dan rumah. Iyad, seorang peniaga kedai berkata \"Chavez adalah presiden terbaik. Beliau selalu menyokong Palestin.\"

\"Beliau adalah lebih baik daripada pemimpin Arab. Jordan dan Mesir sepatutnya turut mengusir duta Israel. Adalah memalukan kerana kita tidak mempunyai pemimpin sepertinya,\" kata Assem, seorang lagi peniaga. - AFP


Hamas, Israel mula perang psikologi


Operasi bagi lemahkan moral kedua-dua pihak

BAITULMAQDIS: Pada awalnya ia tidak kelihatan sesuatu yang luar biasa apabila wajah kepemimpinan Hamas muncul di rangkaian televisyen pergerakan itu, tetapi kemudian mereka ditembak satu persatu sambil mesej dipancarkan yang memberi amaran kumpulan Palestin itu sudah kesuntukan masa.

Malah, ketika kereta perisai dan tentera darat Israel menceroboh jauh ke dalam Semenanjung Gaza dalam usahanya menghentikan pelancaran roket oleh pejuang ke wilayah Israel, perang turut disertakan dengan operasi psikologikal bertujuan melemahkan moral kedua-dua pihak.

Di stesen radio Voice of Jerusalem milik Jihad Islam di Semenanjung Gaza, penyampai, Kamal Abu Nasser, berkata sekurang-kurangnya sekali sejam, tentera Israel turut mengganggu isyaratnya dan menyiarkan mesej menyalahkan Hamas di atas masalah setiap orang.

Hamas pula berkata ia menyiarkan mesej pada walkie talkie tentera Israel yang mengancam untuk menculik dan membunuh tentera Israel. Tentera berkata, ia tiada maklumat mengenai perkara itu.

Nasib Sarjan Gilad Shalit, yang ditawan oleh pejuang dikaitkan dengan Hamas pada 2006 dan masih tidak tahu di mana dia berada, berulang kali ditimbulkan dalam siaran dan kenyataan Hamas, yang beberapa kali mengancam menculik lebih ramai tentera Israel.

Hamas cuba menyebarkan khabar angin ia sudah menculik beberapa tentera Israel. Tentera Yahudi pula berkata, sekurang-kurangnya satu cubaan berjaya dipatahkan.

Jurucakap tentera Israel, Brig Jeneral Ilan Tal, berkata beliau tidak akan memberi komen mengenai operasi psikologi Israel.

\"Jika bercakap mengenai perang psikologi, kita perlu belajar daripada apa yang Hamas lakukan. Kami menjangkakan Hamas akan meneruskan khabar angin mengenai penculikan ketika keadaan semakin kritikal,\" katanya.

Muslihat Hamas berpanjangan ke medan perang ketika ia cuba memerangi tentera Yahudi yang semakin ramai.

Jurucakap tentera rejim Zionis, Mejar Avital Leibovich, memberitahu Associated Press, tentera Israel mendapati kawasan penempatan Gaza dipenuhi jerangkap samar, termasuk patung yang diletakkan di pintu masuk pangsapuri dan meletup apabila dimasuki tentera.

Tentera Israel membentuk unit operasi psikologi tiga tahun lalu walaupun usaha awalnya dalam perang Lubnan 2006 terhad kepada cuba melakar kartun sindiran pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah dan menggugurkan ia di selatan Lubnan.


Dulu seludup makanan, kini senjata

Dulu seludup makanan, kini senjata

GASOLIN, beras, mentol, viagra malah pengantin, semuanya diseludup melalui laluan bawah tanah Semenanjung Gaza yang digali menuju ke sempadan Mesir. Terowong ada di mana-mana di bumi Gaza.

Ketika Israel semakin ganas menyeksa 1.4 juta penduduk Palestin dengan pelbagai sekatan termasuk ekonomi, terowong menjadi nadi mereka untuk meneruskan kehidupan di Semenanjung Gaza.

Sejak Hamas menguasai Gaza pada Jun 2006, jumlah barangan yang dibawa melalui terowong dari Mesir ke Gaza semakin bertambah. Sejarah terowong di Gaza sudah lama wujud dan kini berubah fungsi daripada dijadikan laluan menyeludup makanan kepada membawa senjata

Ketika Intifada pertama dan sepanjang perselisihan antara Hamas dan Fatah, banyak senjata diseludup ke Gaza dari Mesir melalui terowong. Satu ketika dulu penyeludup disamakan dengan penjenayah, tetapi hari ini, desakan hidup dan sekatan ekonomi oleh Israel menjadikan hampir semua warga Palestin tidak peduli lagi dengan anggapan itu.

Difahamkan ada 750 terowong digali di bawah sempadan Mesir. Jumlah itu diketahui selepas Majlis Bandar Rafah memutuskan semua pengguna terowong mesti berdaftar dan membayar cukai sebanyak RM7,400 setahun.

Bertambahnya pengguna terowong menyaksikan zaman terowong Gaza yang diselubungi misteri sudah lama berlalu. Dulu, sukar mengorek rahsia mengenai kewujudan terowong di bawah bumi Gaza yang merentas hingga ke sempadan Mesir. Hari ini penduduk Rafah boleh memberitahu anda terowong yang mana membawa barangan pengguna, terowong yang mana membawa senjata. Malah, terowong mana yang selamat untuk laluan pengantin baru ke majlis akad nikahnya.

Terowong yang biasa panjangnya antara 800 hingga 1,400 meter. Di Palestin, terowong biasanya digali bermula dari dalam bangunan yang runtuh atau rumah. Dari situ penggalian akan dilakukan hingga mencapai kedalaman antara 15 hingga 30 meter. Pembinaannya mengambil masa paling kurang enam bulan. Jika memilih untuk terowong sedia ada, bayarannya mencecah RM320,000 termasuk rasuah.

Dianggarkan 90 peratus produk yang memasuki Gaza setiap bulan bernilai RM128 juta dibawa melalui terowong melalui Mesir. Jaringan bawah tanah ini juga sumber pendapatan dan senjata pergerakan Hamas dengan bayaran RM8,880 untuk setiap terowong.

Bagi sesetengah penduduk, terowong bukan saja laluan untuk meneruskan kehidupan tetapi terowong itu adalah kehidupan mereka. Justeru, ada yang berhadapan dengan masalah apabila pihak berkuasa Mesir mengesan kehadiran terowong. Ada kalanya gas dilepaskan dalam terowong membunuh mereka yang menggunakannya.

Yang pasti, ia gagal menakutkan warga Palestin. Malah, menggali terowong adalah satu pekerjaan yang upahnya mencecah RM480 sehari. Namun bagi seorang penggali yang hanya dikenali sebagai Muhamad, 21, berkata angka itu hanya teori, ada kalanya pemilik terowong tidak membayarnya.

“Dalam hal ini pemenangnya adalah pemilik terowong,” katanya yang pernah menyaksikan dua rakannya terbunuh di hadapan mata selepas gas dilepaskan dalam terowong manakala seorang lagi melecur teruk.

Insiden itu adalah antara usaha Mesir menamatkan aktiviti penyeludupan. Namun, usaha itu tidak berjaya. Israel walaupun tahu mengenai kewujudan terowong, tidak pernah mempedulikannya.

“Kerja saya berhadapan dengan risiko kematian,” kata Muhamad.

Muhamad seperti kebanyakan warga Palestin lain tidak ada banyak pilihan untuk terus hidup. Sebelum sekatan ekonomi oleh Israel, keluarga Muhamad memiliki perniagaan jahitan. Namun, perniagaan itu terhenti kerana tiada bekalan kain. Justeru, pekerjaan yang tinggal hanyalah menjadi penggali terowong.


Bagaikan anak raja

Kemuncak majlis perkahwinan Mawi, Ekin berakhir dengan majlis resepsi yang bertemakan kisah 1001 malam di Palace of the Golden Horses, kelmarin

JIKA diimbas kembali, betapa majlis perkahwinan penyanyi tersohor, Mawi, bersama Ekin sememangnya cukup gah. Daripada majlis pernikahan di Masjid Sultan Abu Bakar Johor Bahru, majlis persandingan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru, majlis resepsi di kampung kelahiran Mawi, Felda Taib Andak dan akhir sekali majlis persandingan gilang-gemilang bertemakan kisah 1001 malam di Seri Kembangan, semuanya penuh gilang-gemilang.

Alangkah beruntungnya insan yang bernama Mawi apabila begitu ramai pihak tampil untuk menjayakan majlis perkahwinannya, sesuai kedudukan selaku artis paling popular negara. Dia sendiri mengaku tuah memang menyebelahinya apabila pernikahan bersama buah hati, Ekin, mendapat kerjasama hebat pelbagai pihak.

Majlis terakhir yang berlangsung Ahad lalu di Le Marquee, Hotel Palace of the Golden Horses, menyaksikan sebuah lagi acara penuh gemerlapan. Dengan tema Mawi & Ekin: 1001 Malam, majlis yang disiarkan secara langsung oleh Astro Ria itu memukau 1,500 hadirin yang ada.

\"Kami tidak pernah pun mengidamkan majlis yang gah sebegini rupa. Semuanya dirancang oleh pihak lain untuk kami berdua. Pastinya, kami berasa bertuah apabila diberikan majlis sedemikian,\" kata Mawi pada sidang akhbar sebaik saja selesai majlis berkenaan.

Ditemani Ekin di sebelah, dia berkata, dia juga tidak mengubah bentuk majlis terbabit sekiranya dia diberikan peluang untuk melakukannya semula kerana segala yang dirancang itu sudah cukup baik buatnya.

Mawi sendiri berasa cukup lega apabila kesemua majlis perkahwinannya yang bermula 20 Disember lalu sudah pun selesai. Tumpuannya kini hanyalah kepada percutian bulan madu bermula 16 Januari. Selama enam hari, Mawi dan Ekin terbang jauh ke Korea untuk menikmati suasana percutian pertama setelah bergelar suami isteri.

\"Tidak, tiada rakaman yang dilakukan sewaktu kami berbulan madu di sana,\" katanya sambil ketawa apabila ditanya apakah percutian itu juga bakal dijadikan program televisyen.

Tambah Ekin, empat kali siaran langsung dilakukan sebelum ini sudah cukup memadai buat mereka berdua.

Bercerita mengenai babak menunggang kuda yang dilakukannya ketika pengantin mula-mula tiba di pekarangan khemah tempat majlis berlangsung, Mawi mendedahkan betapa dia berasa kaget apabila latihan hanya dilakukan selama dua hari sebelum ‘persembahan’ bermula.

\"Jurulatih sendiri berkata, tidak pernah berlaku apabila seseorang penunggang hanya berlatih dua hari sebelum melakukan persembahan. Kiranya ia satu rekod baru jugalah. Saya sendiri kecut perut sewaktu awal-awal tunggangan. Manalah tahu jika kuda pula buat hal pada hari sebenar. Begitu pun kami semua sudah bersedia sekiranya kejadian seperti itu berlaku,\" ujarnya.

Ketika ditanya mengenai majlis yang paling digemari mereka, Ekin berkata, kesemuanya memang menyeronokkan mereka dan mempunyai makna tersendiri. Justeru, tidak timbul majlis mana paling bermakna di hati mereka kerana paling penting bagi Ekin, semuanya berjalan dengan lancar dan sempurna.

Diusik dengan pertanyaan apakah mereka ingin mendapatkan anak secepat mungkin setelah bergelar suami isteri, Ekin memberitahu, walaupun tidak merancang, namun dia memang berharap dapat menimang cahaya mata seberapa segera. Dia sendiri sudah pun bersedia untuk bergelar seorang ibu pula.

\"Jika Tuhan menganugerahkan sepasang anak kembar, pastinya kami lebih seronok,\" ujar Ekin yang berkebetulan mempunyai saudara kembar, Aen.

Tiba-tiba Mawi di sebelahnya mula menghitung, mereka akan mendapat 12 anak dalam masa yang singkat sekiranya sebanyak enam kali Ekin bersalin anak kembar dua.

Diminta mengulas kedatangan bekas tunangnya, Ina Naim bersama suami, Mohd Shuhaimi Saad serta bayi comel mereka, Ehmed Hadie Elfardie, 8 bulan, ke majlis berkenaan, Mawi berkata, sememangnya mereka sudah lama merancang untuk mengundang kedua-duanya ke majlis perkahwinan mereka di Kuala Lumpur.

\"Kami memang merancang untuk menjemput mereka di Kuala Lumpur kerana mereka juga adalah artis. Tiba-tiba keluar pula cerita mereka tidak diundang sewaktu majlis diadakan di Johor. Ina sendiri sempat bertemu saya tadi. Dia dan suami sempat mengucapkan selamat pengantin baru buat kami berdua,\" kata Mawi.

Lensa kamera kelihatan tidak berhenti berkelip tatkala Ina dan suami serta anak sulung mereka menghampiri meja makan utama. Di situ, Ina sempat bertemu, bersalam dan mencium pipi ibu Mawi, Ramlah Sarlan.

Mengenai aktiviti seninya selepas tamat bercuti pada 31 Januari, Mawi memberitahu, dia akan terbabit dalam filem terbaru terbitan KRU, Magika. Manakala perbincangan mengenai usaha menyelamatkan kembali filem Aduh Saliha juga sudah pun bermula.

Sekali lagi diusik dengan soalan mengapa tidak dia berpasangan saja dengan isterinya dalam filem berkenaan, Mawi tidak memberikan kata yang pasti walaupun dia mengaku tidak akan menghalang kegiatan seni Ekin setelah sah bergelar isteri. Begitupun, pada satu lagi pertanyaan, kedua-duanya berkata mereka pastinya tidak akan menyertai program Sehati Berdansa bagi menghormati imej bertudung wanita itu.


INFO: Perkahwinan Mawi dan Ekin

MAJLIS perkahwinan bertemakan Timur Tengah itu dirancang CD Advertising, manakala hiasan pelamin dan dekorasi disempurnakan oleh Yamin. Jurusolek Tona diberikan tanggungjawab memperindahkan wajah Mawi, manakala Ekin pula disolek Velarie.

PADA Ahad lalu, Mawi dan Ekin menggayakan busana pengantin rekaan Rizalman, Bon Zainal dan Yamin, dengan fabrik disediakan oleh Jakel.

KEK pengantin berbentuk bantal Arab disediakan Blooming Cake, manakala kain rentang oleh Rimbunan Niaga, bot dinaiki mempelai disediakan Mines Cruise manakala pengiring pula terdiri daripada pelajar Universiti Putra Malaysia. Rakaman foto majlis perkahwinan berkenaan pula disediakan Mazlan Photo.

PAKEJ percutian bulan madu Mawi dan Ekin disediakan oleh Pertubuhan Pelancongan Korea.

JIKA Jimmy Shanley dan Kumpulan Cham (Raja Lawak) mengacarakan acara permaidani merah, Farah dan Reza pula mengendalikan program siaran langsung, manakala Dang Suria dan Aktar Sahari mengacarakan majlis perkahwinan. Aznil Nawawi juga turut muncul mengacarakan acara merenjis.

ACARA menepung tawar disempurnakan oleh ibu pengantin lelaki, Ramlah Sarlan; Ketua Kampung Felda Taib Andak, Haji Hanafiah; bapa dan ibu pengantin perempuan, Rahmat Mohamed dan Fatimah Saad; Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah; Toh Puan Bendahara Kedah, Noorsuzana Abdullah; Pengerusi Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; isterinya, Toh Puan Mazni Mohd Nor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; dan isteri, Datin Seri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin.

ARTIS yang muncul menghiburkan mempelai serta tetamu malam itu terdiri daripada Anita Sarawak, Yasin, Idayu, Akma, Amylea, Marsha, Elliza, Ekin, Heliza, Riz, Mila, Zahid, Feliz dan Rabbani.


AJL cukup mendebarkan

Anugerah wajar diteruskan, tetapi pastikan matlamatnya tidak memberi tumpuan hanya kepada penyanyi

BANYAK cerita menarik yang dikongsi daripada penulis seni kata lagu berpengalaman, Habsah Hassan bersama-sama dengan bakat baru dalam bidang yang sama, Ahmad Fedtri Yahya.

Walaupun dari dua generasi berbeza tetapi mereka nyata mempunyai pendapat yang sama mengenai Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23 yang akan berlangsung 18 Januari ini.

Nama Habsah Hassan kepada pencinta lagu Melayu bukanlah asing. Hasil karya penulis seni kata ternama ini sudah tercatat sejak ia AJL atau Muzik Muzik diperkenalkan pada 1986.

Malah sehingga hari ini, dia adalah penulis seni kata lagu paling banyak dicalonkan dalam AJL. Pada tahun 1985, seni kata tulisannya Menaruh Harapan yang lagunya dicipta oleh A Ali dan dinyanyikan oleh Zaiton Sameon diangkat sebagai karya terbaik.

Selepas itu pada tahun 1995, Habsah menang lagi menerusi karyanya berjudul Cinta Beralih Arah lagu ciptaan Jari dan penyanyinya, Aishah.

Ahmad Fedtri Yahya pula, meskipun hanya empat tahun terbabit dalam AJL tetapi berpengetahuan luas mengenai program itu kerana mengakui meminati AJL sejak di bangku sekolah. Lagu Samudera adalah seni kata sentuhannya yang dinyanyikan oleh Nora, pernah diangkat sebagai lagu terbaik bagi kategori Etnik Kreatif dalam AJL tahun lalu.

Pada AJL ke-23 nanti, Habsah mempertaruhkan lagu Hanya Di Mercu nyanyian Ayu One In A Million, sementara Fedtri dengan lagu Dusta Berkalang yang dinyanyikan oleh bakat baru, Aiman.

Kedua-duanya berpendapat AJL harus diteruskan tetapi matlamatnya perlu dikaji semula kerana ketika ini program itu lebih banyak memberi pendedahan kepada penyanyi berbanding pemuzik, penggubah dan penulis seni kata lagu.

Menurut Habsah, ketika era 80-an dulu, kehadiran AJL cukup mendebarkan bagi penulis seni kata lagu, penulis lagu dan penyanyi kerana masing-masing tidak mahu ketinggalan memberikan persembahan terbaik.

“Zaman dulu persaingan cukup sengit. Penyanyi semua hebat-hebat, suara kebanyakan penyanyi semuanya mantap. Mereka bukan setakat menyanyi, tapi masing-masing berlumba-lumba mahu membuat persembahan terbaik.

“Dulu setiap kali masuk bertanding, perasaan setiap komposer mesti berdebar-debar. Semua orang tertunggu-tunggu kehadiran AJL kerana ia adalah sebuah pertandingan lagu sebenar yang menilai hasil karya komposer bukannya bersandarkan populariti semata-mata.

“Tetapi sekarang saya melihat perasaan sedemikian tidak lagi wujud. AJL bagi saya masih boleh dipertingkatkan lagi tetapi TV3 perlu kembali kepada matlamat asal iaitu untuk mengangkat karya komposer tempatan.

“Mungkin juga boleh diadakan seminar bagi mengembalikan kegemilangan AJL bersama-sama penyanyi baru dan lagu untuk membincangkan mengenai masalah ini,” kata Habsah.

Beliau juga berkata, agak menghampakan juga sekiranya penyanyi terus diberi tumpuan dalam program ini berbanding sumbangan penting daripada komposer dan penulis lirik.

Menurutnya, AJL harus ada kewibawaan dan kualiti tersendiri dan pendekatannya juga mesti jelas berbeza sama sekali daripada program realiti TV.

Katanya, tambah mengecewakan, ada penyanyi yang sekadar menyanyi tetapi tidak mengenali komposer dan penulis seni kata lagu nyanyiannya.

Mengenai kualiti seni kata lagu, Habsah berkata, perkara itu terlalu subjektif untuk dibincangkan. Bagaimanapun katanya, kebanyakan penulis sekarang menghasilkan seni kata yang tidak ada bahasa dan amanat yang kuat.

Namun tidak menolak ia mungkin bagi memenuhi kehendak pendengar sekarang.

“Sebagai orang lama pendapat saya berbeza. Bagi saya kalau tuhan beri kelebihan bakat untuk kita, maka ia harus digunakan dengan baik. Mungkin pandangan saya tidak relevan untuk zaman ini, cuma harapan saya supaya identiti muzik kita tidak lari.

“Lihat saja dunia muzik Bollywood, walaupun sudah melangkau ke peringkat antarabangsa, mereka masih kekal dengan muzik mereka tanpa terikut-ikut muzik barat,” katanya.

Penyanyi tak kenal pemuzik dan penulis seni kata

Menurut Fedtri yang mengikuti perkembangan AJL sejak di bangku sekolah, dia memastikan akan meluangkan sedikit masa melihat penyanyinya menjalani latihan kerana cara itu dapat memantapkan lagi persembahan penyanyi.

Justeru apabila pertama kali dapat bekerjasama dengan penyanyi pujaannya Noraniza Idris, dia tidak mensia-siakan peluang itu dengan turun berlatih bersama hampir setiap hari bersama. Perkara itu masih lagi dilakukan sehingga sekarang bersama Aiman.

“Memang betul seperti kata kak Chah (Habsah Hassan). Paling menyedihkan apabila ada penyanyi yang tidak kenal penulis seni kata lagu nyanyiannya kerana penyanyi ini hanya tahu menyanyi. Dia tidak berusaha hendak ambil tahu mengenali penulis seni kata dan pencipta lagu nyanyiannya.

“Saya pula berbeza, saya akan pastikan turun latihan bersama-sama penyanyi supaya boleh membantu mereka memahami seni kata dalam lagu berkenaan,” katanya yang bimbang dengan nasib yang menimpa lagu etnik kreatif yang semakin hari dikurangkan penyertaannya.

Bagi Fedtri, perkara itu tidak seharusnya terjadi sekiranya stesen radio memberi peluang kepada lagu etnik kreatif berkumandang radio.

Katanya, perkara itu hanya akan terjadi sekiranya lagu berkenaan didendangkan penyanyi popular.

Dia juga kurang setuju dengan pemilihan berdasarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk persembahan terbaik.

Katanya, perkara itu tidak adil untuk penyanyi kerana kemenangan akan berpihak kepada mereka yang yang mempunyai ramai peminat. Sebaliknya ia harus diadili menggunakan khidmat juri supaya anugerah itu dapat diberikan kepada penyanyi yang lebih layak.


Tak paksa Abby terima maaf

Memey Suhaiza tidak ralat andai itu hakikat yang harus ditelannya dek kesilapan yang tidak pernah diundang

PELAKON kontroversi, Memey Suhaiza, 20, sudah menjalankan tugas dan tanggungjawabnya namun sebagai manusia biasa dia tidak mampu memaksa Abby menerima bulat-bulat kemaafan yang dipinta.

Selepas hampir dua bulan dikatakan kononnya \'bersembunyi\' daripada pihak media Memey akhirnya kembali dengan kekuatan baru untuk mengharungi segala-galanya dengan hati terbuka.

Sebagai orang yang lebih muda dan baru, Memey tidak ralat andai itu hakikat yang harus ditelannya dek kesilapan yang tidak pernah diundang dan di luar kawalan perasaannya.

Semuanya adalah rentetan artikel muka depan Harian Metro bertarikh 12 Januari lalu berhubung kenyataan balas janda kepada aktor Norman Hakim, Abby Abadi. Di dalam artikel itu, Abby enggan menerima maaf yang disuarakan Memey Suhaiza secara terbuka di dalam program hiburan sensasi, Melodi dan juga akhbar sisipan B*Pop pada 11 Januari.

Gara-gara itu, pagi 12 Januari lalu, telefon bimbit sepupu kepada Darling Ngasri ini tidak henti-henti berdering ingin menanyakan maklum balasnya. Tindakan Memey memohon maaf sebagai rasa kesedaran dirinya yang dilabel sebagai pemusnah rumah tangga Abby dan Norman Hakim apabila pasangan itu sah bercerai pada 18 Disember lalu.

“Saya sudah berusaha untuk menjernihkan keadaan dan semuanya terpulang kepadanya. Saya tidak marah, tak salahkan dia dan tidak boleh berbuat apa-apa kalau itu jawapannya. Sebagai golongan wanita, saya memahami apa yang dialaminya dan semuanya bertitik tolak kepada tekanan hebat yang dihadapinya berkait soal perpisahan antaranya dengan Norman.

“Apa yang sudah terjadi satu dugaan besar buat mereka dan juga saya sendiri. Yang berlalu biarkan ia terus berlalu dan usah dikenang lagi. Tapi jauh dalam sudut hati ini, saya masih berharap supaya masih ada kemaafan daripadanya. Semoga ada sesuatu yang baik pada masa mendatang, Insya-Allah,” katanya sewaktu dihubungi Hip pagi semalam.

Di saat Memey bergelumang dengan keadaan yang cukup menyesakkan, mujur keluarga di kampung (Kota Tinggi, Johor) menjadi nadi kekuatan untuk dia memberanikan diri berdepan dengan pelbagai kemungkinan pada masa mendatang. Tidak menidakkan yang kontroversi yang dialami itu memberi kesan yang cukup besar kepada prestasi kerjaya lakonannya, Memey ingin bangkit dan mengharapkan 2009 sebagai tahun untuk dia meletakkan kembali kepercayaan peminat terhadap bakatnya.

Menurut Memey, dia percaya kepada soal rezeki dan tidak melihat apa yang terjadi kepadanya sebelum ini sebagai penyekat untuk terus mara menggilap nama di persada seni.

Katanya lagi, sewaktu ‘bersembunyi’ (istilah yang sering digunakan sewaktu kehilangannya), Memey mengakui masih menerima tawaran berlakon filem dan drama, namun ketika itu, buat sementara waktu Memey belum bersedia mempertimbangkannya.

“Sepanjang dua bulan itu, saya banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur dan selebih di kampung halaman. Saya tidak lagi tinggal di rumah lama di Selayang sebaliknya tinggal di rumah pakcik di Ampang buat sementara waktu. Kehidupan saya kini sudah kembali kepada asal dan insya-Allah awal Februari nanti saya akan terbabit dengan drama Roda Roda Kuala Lumpur terbitan Skop Productions.

“Pernah satu detik, dek kritikan dan kontroversi yang dialami saya diminta untuk berhenti daripada terus berlakon. Ada suara sumbang yang singgah di telinga saya berkata, baru setahun jagung di dalam industri sudah pandai buat hal memporak-perandakan rumah tangga orang. Tapi itu semua hak dan mulut orang untuk bercakap apa-apa saja.

“Bagaimanapun, apa yang berlaku ini bukan penghujung untuk saya berlalu sepi. Saya anggap tahun ini sebagai permulaan yang baik untuk saya terus mengembangkan legasi seni saya. Setiap kritikan yang boleh dijadikan pedoman, saya ambil jadikan sebagai iktibar dan teladan. Kesilapan lalu mematangkan saya dan memberi saya satu pelajaran berguna untuk bermuhasabah diri,” katanya penuh semangat.

Akui dalam proses kenali hati budi Norman

WALAU apa terjadi dan kata nista kepadanya, ia tidak akan mengganggu gugat hubungan baik yang terjalin di antaranya dengan Norman. Tidak menidakkan dan mengiyakan mengenai andaian sesetengah pihak yang mengatakan mereka sedang bahagia menganyam cinta, Memey menjelaskan terpulang kepada persepsi masyarakat dan media untuk mengkelaskan apa jenis hubungan mereka.

Mengenai resolusi 2009, selain ingin terus berjaya mengembalikan semangat yang pudar seketika di dalam arena seni, Memey juga berharap kehidupan peribadinya akan memberikan sedikit cahaya baru buatnya.

“Apa yang boleh saya katakan hubungan saya dengan Norman sangat baik dan rapat. Kami dalam peringkat mengenali hati budi dan jika ditakdirkan jodoh kami untuk bersama, saya menerimanya dengan hati yang terbuka. Tiada sebab untuk kami bermusuh. Jodoh pertemuan, ajal dan maut semua urusan Tuhan. Kalau sudah sampai seru dengan dia sekalipun atau sesiapapun, kenapa harus saya menolak.

“Apa terjadi biarlah kisah ini reda dulu dan saya tidak mahu terburu-buru meletakkan apa-apa kepercayaan kepada sesiapapun. Saya mahu terus fokus dalam dunia seni dan mencari rezeki yang halal,” katanya tanpa berselindung.

Ditanya apakah Memey bersedia untuk berlakon atau bersemuka dengan Abby, Memey berterus terang bersedia melakukannya atas paksi profesional.

“Saya bersedia untuk digandingkan bersama untuk apa sekali tujuan kerjaya atau sesi fotografi. Andai ada tawaran berlakon yang mahu menggandingkan saya dengannya, tiada sebab dan masalah untuk saya menolak. Saya memandang usaha ini daripada aspek kerja dan biarlah soal peribadi itu ditolak ketepi,” kata Memey mengakhiri perbualan.


Fergie belum mahu rai kebangkitan MU

Pemain \'tolong jawab\' kritikan Benitez

MANCHESTER: Sir Alex Ferguson pasti akan mengenang sumbangan pemainnya dalam membalas kritikan pedas Rafael Benitez iaitu kemenangan 3-0 mengatasi Chelsea yang kini meletakkan Manchester United pada posisi utama pertarungan merebut gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) yang tampak menyusul tepat pada masanya.

Namun, pengurus Manchester United itu tampak tidak mahu meraikannya terlalu awal.

Jadi, tidak menghairankan bahawa perbalahan luar biasa minggu lalu dari Benitez dilayan menerusi kebimbangan oleh Ferguson mengenai kelakuan tidak sepatutnya dilakukan.

Ketika pengurus Liverpool itu menyuarakan rasa marah dalam apa dilihatnya sebagai kelakuan hipokrit rakan sejawatannya itu, membuli pegawai dan beberapa siri kritikan, Ferguson mengehadkan tindakannya dengan nada terkejut sambil bersimpati.

“Ada banyak bisa dalam apa yang dikatakan Benitez. Saya tidak faham dari mana ia datang,” kata pengendali dari Scotland itu. “Dia jelas terganggu oleh sesuatu.

“Apabila dia membalasnya, dia mesti menyedari apa perkara mengarut yang dikatakan.

“Tetapi saya tidak mahu bercakap mengenai perkara lain kerana apa yang saya mahu katakan ialah terus fokus terhadap pasukan.”

Kemenangan kelmarin bererti United akan memintas Liverpool pada kedudukan teratas carta liga andai mereka menang dua perlawanan dalam tangan. Ia bermula dengan jadual yang diubah di tempat sendiri apabila menentang Wigan, esok.

Selepas mengumpul empat daripada enam mata daripada Chelsea dan perlawanan tempat sendiri berdepan Liverpool dan Arsenal selepas ini, United tampak berada pada kedudukan terbaik tepat pada masanya apabila skuad Ferguson secara tradisional mula mempamer taring sebenar mereka. - AFP

Please Log in or Create an account to join the conversation.

Time to create page: 0.542 seconds