Peras suami sendiri

More
17 years 11 months ago #25632 by APC
Peras suami sendiri was created by APC
Oleh Saipul Adli Mohamad
[email protected]



JOHOR BAHRU: Tindakan seorang isteri berusia 34 tahun yang tergamak memeras ugut suaminya sebanyak RM7,500 dan mereka cerita kononnya dia bersama dua anak dilarikan tiga lelaki sebelum dikurung dalam bilik gelap, membawa padah apabila wanita itu ditahan polis, Isnin lalu.

Sebelum itu, suami wanita berkenaan yang juga peniaga sayur di pasar malam, terkejut apabila mendapati isteri serta anak lelakinya berusia tujuh tahun dan anak perempuannya berusia tiga tahun, tiada di rumah mereka di Ulu Tiram, dekat sini, kira-kira jam 9 malam, Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata kira-kira dua jam kemudian, lelaki itu menerima panggilan telefon daripada isterinya menyatakan dia dan dua anak dilarikan sekumpulan lelaki serta dikurung dalam bilik gelap dan kononnya kumpulan itu menuntut RM7,500 sebagai tebusan.

“Lelaki berkenaan kemudian membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram dan sebaik menerima maklumat, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan mangsa dan kumpulan penculik terbabit.

“Bertindak hasil maklumat, pasukan khas itu menyerbu sebuah bilik hotel di Kluang, kira-kira jam 10.45 malam Isnin lalu dan menjumpai semula isteri peniaga itu bersama dua anaknya dalam keadaan selamat.


“Siasatan polis mendapati wanita itu mengaku sengaja mereka cerita kononnya dia dan anaknya diculik tiga lelaki sedangkan motif sebenarnya ialah mahu memeras wang suaminya sebelum melarikan diri dengan pulang ke Indonesia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner II Amer Awal serta Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan N Dorairaja.

Mohd Mokhtar berkata, walaupun kes berkenaan berjaya diselesaikan pasukan khas dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas dilaporkan, tindakan wanita terbabit satu kesalahan dan kerugian kepada pasukan berkenaan kerana terpaksa menjalankan siasatan terperinci serta memberikan keutamaan kepada kes itu.

“Memang prosedur kita untuk memberikan keutamaan kepada kes culik dan polis perlu bertindak segera, tetapi dalam kejadian ini, ia adalah rekaan wanita terbabit dan merugikan masa serta tenaga anggota polis.

“Wanita itu kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan terhadap suami dan jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata, pihaknya mengadakan operasi bersepadu membanteras jenayah narkotik pada 17 hingga 19 Mei lalu manakala operasi membanteras jenayah curi motosikal dilancarkan pada Selasa lalu di seluruh negeri.

Beliau berkata, seramai 8,436 orang dan 5,631 kenderaan diperiksa menerusi 220 sekatan jalan raya, 547 serbuan dan berhasil menahan 220 orang serta mengeluarkan 590 saman.

Sumber : MyMetro 22 May, 2008
More
17 years 11 months ago #25633 by APC
Replied by APC on topic Ruj:Peras suami sendiri
errr..tak tau nak komen, apa pun, yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan ;)
Time to create page: 0.818 seconds